Husnuzon
bermaksud bersangka baik kepada orang lain. Menganggap baik sesuatu
perkara itu sangat dituntut dalam Islam kerana bersangka baik itu lebih
baik, mulia dan dapat mengelakkan dari menuduh orang lain berbuat jahat
atau melakukan keburukan.
Saidina Umar bin Al-Khattab r.a.telah berkata : “Jangan
kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada
seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara
untuk meletakkannya di tempat yang baik.”
Orang yang bersangka buruk seolah memfitnah orang, kerana sangkaan buruknya itu tidak mempunyai bukti yang nyata dan kukuh. Ini dibimbangi terjadinya fitnah yang membawa kepada dosa besar, kerana Islam sangat melarang umatnya memfitnah orang lain.
Fadhilat Bersangka Baik
Bersangka baik juga mempunyai banyak kebaikan dan kelebihannya. Antaranya adalah:
1. Mengelakkan
manusia dan ummah daripada berpecah-belah antara satu sama lain yang
akan merugikan masyarakat dan Negara bak kata pepatah ‘Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati’.
2. Dapat membersihkan hati dari titik-titik hitam dan mencegah perkara-perkara mungkar dari terus bersarang di hati kita,
3. Selalu merasa bahagia atas kejayaan yang dicapai orang lain walaupun diri sendiri belum berjaya.
4. Mewujudkan
sikap ingin bersaing antara satu sama lain. Kerana umat Islam yang
mempunyai sikap ingin bersaing dengan orang yang telah berjaya akan
mendatangkan keuntungan kepada semua umat Islam termasuk dirinya
sendiri.
5. Hubungan
persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik. Apabila hati bebas
dari bersangka buruk terhadap, maka yang ada dalam hatinya adalah
sangkaan yang baik-baik sahaja. Sudah pasti hatinya bertambah cinta pada
saudaranya itu dan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama
manusia.
Berbaik Sangka Terhadap Perkara Dusta
Islam mewajibkan umatnya mencegah kemungkaran yang berlaku disekeliling dan persekitaran dengan kemampuan yang ada pada mereka. Andai kata kita melihat atau ternampak orang yang melakukan dosa dan kemaksiatan, tetapi masih bersikap husnuzon terhadap perlakuan mungkar itu, maka kita juga turut berkongsi saham dan tidak terlepas dari menanggung dosa kemaksiatan yang dilakukan oleh orang tersebut.
No comments:
Post a Comment